Jangan Kejar Dunia, Kamu Akan Penat

Wednesday, 14 September 2011

CERPEN: Surat Rasmi untuk Berdakwah

Posted by Muhamad Asnawi Vaea | Wednesday, 14 September 2011 | Category: |


 BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam semoga dilimpahkan ke atas Nabi Muhammad bin Abdullah S.A.W., keluarganya, dan para sahabatnya. Wa ba'du.
__________________________________________________________________________________

      Awan mendung berarak membawa seribu kerisauan. Apa taknya, Mujahid dan Uzair datang membawa diri ke maktab tersebut pun hanya dengan menunggang motosikal, tu pun motosikal pinjam dari kawan sefakulti. Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam dari universiti mereka tidak lain hanya untuk mencari keredaan Allah semata-mata... 


Menyampaikan fikrah Islam kepada penuntut di maktab tersebut...
Menyuntik nadi keimanan ke dalam jiwa mereka...
Menghidupkan detak ketakwaan di dalam sanubari... 
Dan mengisi nafas keikhlasan ke dalam palung jiwa mereka... 



    Dari jauh lagi sudah kelihatan palang penghadang jalan separuh terbuka. Hairan bercampur kaget. "Selalunya tak macam ni," bisik hati kecil Mujahid. Motorsikal tu boleh saja menyelusup masuk, tapi takut mendatangkan curiga kepada pihak pengawal pula.

    "Akh, pergilah letak motor ni kat sana. Biar ana cakap dengan pengawal jap", bicaranya kepada Uzair. Kelihatan seorang pengawal sedang berdiri dekat dengan buku kemasukan pelawat. Entah kenapa, bukan sahaja langkahnya, malah hatinya turut terasa berat sama. Matanya sempat menjeling ke dalam pondok pengawal tersebut.

    "Alamak! Ni pengawal yang suruh aku pulang itu hari," desus hatinya. Dia baru terperasan akan kehadiran Pak Nasir. Pengawal yang pernah memintanya menunjukkan surat rasmi untuk masuk ke kawasan maktab tersebut. 

     "Kalau nak masuk, mesti ada surat rasmi! Ni, main redah! Masuk tadi pun tak berhenti kat pondok kan?! Kalau nak buat halaqah kat sini, mesti minta kebenaran pihak atasan! Nanti, yang kena marah, kami! Bukannya adik!  Kalau nak masuk rumah orang, berilah salam!" bentakan Pak Nasir tiga minggu lepas yang masih terngiang-ngiang kat telinga Mujahid.

    "Hah! Kamu lagi. Apa macam? Dah ada surat rasmi? ", sergah Pak Nasir yang secara tiba-tiba mematikan lamunannya. 

    "Habislah aku. Apa nak jawab ni? Mana ada surat rasmi untuk masuk ke maktab ni. Belum buat lagi. Yang ada pun, surat untuk buat program rasmi bulan hadapan, itu pun ada kat asramaku", monolog dalaman diri Mujahid.

   "Ada surat rasmi, pak cik. Tapi, tertinggal kat universiti saya," jawab Mujahid penuh sopan sambil menunjukkan muka penuh penyesalan. Bukan nak berpura-pura baik, tetapi memang itu sebenarnya akhlak yang diajarkan oleh murabbinya andai kata gerak kerja dakwahnya ditolak. Tunjukkan akhlak dan perilaku yang baik. Boleh jadi, akhlak kita lebih dapat menyentuh hati orang lain berbanding lisan kita.

"Dik, bukan nak halang adik. Tapi, adik tidak boleh berjumpa pelajar selagi adik tidak ada surat kebenaran," tegas Pak Nasir walaupun tidak sekeras sebelum ni.

"Tiada alternatif lain ke ,bang? Memang tidak boleh jumpa walaupun sekejap ke? 5 minit saja. Setakat nak minta barang," dalih Mujahid kendatipun agak takut-takut menyuarakannya. Mujahid tahu, bulan ini mungkin kali terakhir dia dapat berjumpa dengan semua mad'unya. Empat jam lagi dia akan menaiki penerbangan kembali ke kampung halamannya.

"Kalau adik nak juga, adik cakap terus dengan ketua warden. Ni nombor telefonnya...", ujar Pak Nasir sambil menghulurkan secebis kertas kecil.

"Ketua warden? Cikgu Hassan... Dia pun ada semasa tragedi tiga minggu lepas. Bahkan, dialah yang mula-mula minta surat rasmi dari aku". Kecut hati Mujahid apabila terlihat nama Cikgu Hassan di kertas tersebut. Uzair pula, hanya berdiri kebingungan di samping Mujahid. Maklumlah, ini kali pertama dia ke maktab tersebut, sebelum ni tak pernah nampak pun.

Jari pun ligat menekan punat telefon bimbit. Malangnya, perbualan selama enam minit hanya membuahkan lebih banyak masalah. Cikgu Hassan juga tidak membenarkan Mujahid dan Uzair untuk masuk ke kawasan maktab. Lebih parah lagi, Cikgu Hassan mengirim Alwi (Presiden Persatuan Agama Islam) dan rakan-rakannya untuk mengatakan kepadanya,

"Cikgu Hassan harap abang berdua boleh pulanglah ke tempat abang."

Mesejnya sudah terang lagi bersuluh. "Cikgu Hassan suruh abang berdua pulanglah ke tempat abang." Ditranslasi ke bahasa yang lebih mudah difahami. Tidak sangka pula niat mereka untuk  membuat halaqah di maktab tersebut hanya sekadar niat. Dengan hati yang jauh lebih mendung daripada awan kelabu tadi, mereka mula bersalaman dengan Pak Nasir dan rakannya sebelum melangkah pergi.

Tanpa diduga-duga,

"Akhi Mujahid..." suara yang selalu didengarinya menikam benak kesedihannya.

Subhanallah! Kelihatan Haikal, Aslam, Idris dan semua yang lain sedang menghampirinya. Pak Nasir dan rakannya hanya mampu menggeleng kepala dari jauh sambil berpura-pura tidak tahu. 

"Pak Nasir cakap abang tak boleh masuk ke dalam untuk berjumpa kami. Jadi, kami keluarlah untuk berjumpa abang." Terukir senyuman di wajah mereka sebelum mereka saling berpelukan antara satu sama lain.

Mujahid tidak menyangka bahawa meskipun sebelum ini mereka pernah ditegur oleh guru mereka kerana menyertai halaqah yang tiada surat rasmi, tapi jalinan ukhwah antara mereka dengannya, sebagai murabbi yang daif, yang baru sembilan bulan bertatih di dunia terbiyah IPT, begitu erat sehingga tidak akan mampu diputuskan sebegitu mudah. 

Firman Allah,

"dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Mahaperkasa, Mahabijaksana."

                                                                                                              (surah al-Anfal 8:63)




Persoalan yang sering berlegar-legar di minda Mujahid sekarang ini, apakah perlu kita meminta izin dengan memberikan surat rasmi dalam usaha kita untuk berdakwah???

Cuba bayangkan...

Kalau Nabi Muhammad perlu menghantar surat rasmi kepada pembesar-pembesar Quraisy sekiranya ingin berdakwah di Mekah, 

Berapa ratus tahun baginda harus menunggu baru dapat menyampaikan Islam?
Dapatkah Islam tersebar ke seluruh penjuru dunia? 




Allah telah berfirman,

"Fir'aun berkata, Mengapa kamu beriman kepadaNya sebelum aku memberi izin kepadamu?..."
                           
                                                                                                            (surah al-A'raf 7:123)

Dalam ayat tersebut, jelas menyatakan bahawa hanya Firaun sahaja yang menginginkan seseorang itu  memohon kebenarannya sekiranya ingin beriman. Bagaimanapun, Mujahid tidak melabelkan pihak-pihak yang terlibat sebagai Firaun, apatah lagi pihak sekolah. Mujahid tahu, mereka masih belum tersentuh lagi dengan dunia tarbiyah, dan Mujahid berharap...

Suatu hari nanti, kalau bukan mereka, anak-anak mereka, dan kalau bukan anak-anak mereka, cucu-cicit mereka, pasti akan tersentuh dengan dunia terbiyah jua... Insyaallah  
                                                                                                                                             Amin~



Dakwah akan terus berjalan! Tak kira rasmi atau tak rasmi!
__________________________________________________________________________________    
  ~Rabbi Yasir Walaa Tuasir~
 WALLAHUALAM 

Currently have 2 comments:

  1. wah~~~ terharu~~~ haha..

    tak pa,akh..

    seseorang itu tidak akan tahu apa itu hakikat berdakwah, selagimana dia belum meletakkan seluruh dirinya untuk dakwah..

    experience is the best teacher.

    kita doakan redha dan senyuman Allah bersama antum.. ameen...

  2. ehem~ nama watak ni Mujahid ye... Cover line le sket...


Leave a Reply